Akibat terperdaya dengan ‘kekasih’ FB, operator kilang rugi RM3,800

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah
Advertisement

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 28: Akibat terpedaya dengan janji-janji manis kenalan Facebook (FB) kononnya dari England yang mengirimkan bungkusan hadiah kepada dirinya, seorang operator kilang kerugian RM3,800 selepas tertipu dengan sindiket ‘parcel scam’ berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku antara Oktober 28 hingga November 13 lepas, namun laporan polis hanya dilakukan oleh lelaki berusia 40 tahun itu, semalam.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa mengakui telah berkenalan dengan seorang wanita di FB atas nama Zara Zulaiqha yang kononnya berada di England.

Jelasnya, susulan perkenalan itu, wanita berkenaan kemudian berhubung melalui WhatsApp +447821733625 dengan mangsa.

“Seterusnya, pada November 8 lalu, wanita tersebut kemudian memberitahu mangsa bahawa dia ada mengirim baju, minyak wangi, jam dan wang tunai kepada lelaki terbabit.

“Lima hari kemudian, mangsa telah terima panggilan dari nombor 01131406804 yang memperkenalkan diri sebagai Miss Mei daripada syarikat pengahantaran barang,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, wanita berkenaan seterusnya mengatakan barang yang dialamatkan kepada mangsa dari England telah sampai di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun katanya, mangsa perlu membayar insuran sebanyak RM3,800 terlebih dahulu dan selepas pembayaran dibuat barulah barangan tersebut dihantar kepada mangsa.

“Wanita berkenaan juga mengatakan akan mengembalikan wang tersebut apabila barangan sudah sampai ke alamat mangsa.

“Akibat terperdaya, mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM3,800 ke dalam akaun Maybank atas nama Ali Mohamed Elamana Mohame melalui mesin deposit tunai pada November 13 lalu,” ujarnya.

Mangsa akhirnya menyedari telah ditipu kata Mustafa, setelah dia tidak dapat lagi berhubung dengan Miss Mei dan barangan kiriman juga tidak diterima. — DayakDaily

Advertisement