Akibat hantuk kepala isteri pada dinding, seorang lelaki ditahan polis

Royal Malaysia Police logo

MIRI, Julai 10: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mencederakan isterinya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Tudan Desaras di sini malam Ahad lalu.

Jurucakap polis memberitahu, suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 pagi di Jalan Kwang Tung pada pukul 11.30 pagi.

Katanya, lelaki terbabit ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.


“Suspek ditahan selepas disyaki menghantuk kepala isterinya ke dinding rumah hingga mengakibatkan berlakunya kecederaan.

“Wanita berkenaan juga mendakwa insiden serupa bukan kali pertama berlaku malah dia sering dikasari oleh suaminya ketika di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Jurucakap sama menambah, akibat tidak tahan diperlakukan seperti itu, wanita berkenaan nekad membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa nekad membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri serta ahli keluarganya yang lain.

“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily