Agong gesa kerajaan beri perhatian kepada pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah, Sarawak

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUCHING, 13 Feb: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa kerajaan memberi perhatian kepada pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak.

Menurut Al-Sultan Abdullah, ia penting bagi memperkasa pentadbiran undang-undang di kedua-dua negeri.

“Kerajaan Beta telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik.

“Menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak, adalah antara yang telah diputus dan dipersetujui oleh Kerajaan Beta,” kata Baginda dalam Titah Diraja sempena perasmian Sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa yang sama tambah Al-Sultan Abdullah, usaha untuk membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus digiatkan.

Titah Baginda, infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkatkan menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik.

“Jurang pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik termasuk Orang Asli akanterus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing,” titah Baginda. — DayakDaily