Agensi penguatkuasa digesa mengadakan plan bersepadu memerangi pengedaran, penyalahgunaan dadah

Awang Tengah (depan, enam dari kiri) bergambar bersama peserta seminar.

LAWAS, Mac 28: Agensi penguatkuasa di bahagian utara Sarawak diseru untuk mengadakan plan bersepadu dalam memerangi pengedaran dan aktiviti penyalahgunaan dadah dikalangan masyarakat disini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, tindakan bersepadu antara agensi berkaitan adalah penting kerana masalah dadah adalah isu yang semakin membimbangkan.

“Kita amat berharap agar pihak polis dapat memperkuat operasi berkenaan dadah kerana anak-anak muda kita semakin mudah terdedah dengan kemajuan teknologi masakini,” kata beliau, ketika merasmikan Bengkel Tindakan Bersepadu bagi menangangi isu dadah di Sarawak bertempat di sebuah hotel di sini semalam.


Menyentuh isu keselamatan sempadan, Awang Tengah menambah kawalan sempadan harus dipertingkat dan kerajaan negeri turut memandang serius isu ini.

“Kabinet negeri telahpun meluluskan pembelian anjing-anjing pengesan yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik,” tambah beliau.

Dalam isu berkaitan, Awang Tengah berkata penggunaan “big data” boleh diadaptasi dalam pengurusan kes-kes dadah.

“Ia dapat memudahkan data antara agensi berkaitan dan memudahkan penyelesaian kes,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Ngumbang. — DayakDaily