Oleh Chris Bishop
KUCHING, Feb 12: ADUN Piasau dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting menyerahkan kepada kerajaan pusat untuk membuat keputusan samada melucutkan taraf kerakyatan bekas ADUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon.
Tiong Choon pada perbicaran di Mahkamah Persekutuan semalam telah dibatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat setelah mahkamah membenarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berbuat demikian.
“Mahkamah Persekutuan memutuskan dengan jelas bahawa DUN mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Tiong Choon atas alasan beliau memiliki dua kerakyatan.
“Sesiapa sahaja yang memiliki dua kerakyatan tidak dibenarkan untuk duduk di DUN di bawah Artikel 17(1)(g) Perlembagaan Sarawak,” tegas Sebastian kepada pemberita pada satu majlis di sini, hari ini.
Menurut Sebastian yang juga Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, selain menjadi warganegara Malaysia, Tiong Choon juga pernah memiliki kerakyatan Australia.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016, Tiong Choon memenangi pertandingan empat penjuru di DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (Pas) dan Fong Pau Teck (Bebas).
Pada 12 Mei 2017, Tiong Choon dilucutkan statusnya sebagai ADUN selepas Datuk Seri Wong Soon Koh yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang membentangkan satu usul dalam DUN.
Namun, pada 17 Jun 2017, Mahkamah Tinggi memutuskan pembatalan status Tiong Choon sebagai ADUN Pujut kerana tidak mematuhi undang-undang.
Pada 13 Julai, Mahkamah Rayuan memutuskan DUN melangkaui kuasanya apabila melucutkan Tiong Choon sebagai wakil rakyat kerana beliau sudah memulangkan kewarganegaraan Australia sebelum memenangi kerusi DUN Pujut PRN 2016.
Pada 25 Julai 2019, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan DUN Sarawak untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan atas pelucutan status Dr Ting.
Keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengembalikan semula Dr Ting sebagai ADUN Pujut diketepikan dalam keputusan majoriti tujuh-dua di Mahkamah Persekutuan semalam. — DayakDaily