This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 30 Ogos: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan pengajaran agama bukan Islam kepada pelajar-pelajar bukan Islam.
Katanya, ia adalah berdasarkan konsep “untuk bukan Islam Sahaja”.
“Silibus ini boleh disediakan oleh pakar-pakar agama bukan Islam masing-masing.
“Ini penting supaya, sementara pelajar-pelajar Islam diajar 40 Hadis Nawawi, pelajar bukan Islam pula diajar agama mereka masing-masing,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Abun, apabila semua pelajar didedahkan dengan agama mereka masing-masing dengan kualiti dikawal oleh KPM, maka diharap ini akan memupuk nilai kerohanian terbaik pada semua pelajar.
Ujar beliau, ini juga cara dan bukti kita mempraktikkan kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Keikhlasan Kerajaan untuk memperkenalkan Hadis 40 Nawawi ini di sekolah, maka wajarlah juga kerajaan pertimbangkan agar agama lain diajar kepada penganut agama mereka masing-masing.
“Ini juga sangat sesuai dengan nilai dan konsep Malaysia Madani iaitu ihsan dan kemanusiaan,” kata Abun. — DayakDaily