KUCHING, 7 Ogos: Kemasukan pelancong ke Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 merekodkan jumlah lebih 2.4 juta.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia menunjukan peningkatan sebanyak 23 peratus jika dibandingkan dengan 1.96 juta bagi tempoh yang sama pada 2023.
Justeru beliau yakin Sarawak pada tahun ini bakal merekodkan jumlah kemasukan pelancongan melebihi 4.6 juta seperti yang dicatatkan pada tahun 2019.
“Oleh itu sasaran 4 juta pelancong bagi tahun 2024 ini sepatutnya dicapai dengan mudah seawal September depan.
“Saya sangat yakin kita akan mencapai dan mengatasi jumlah 4.6 juta kemasukan pelancong pada tahun ini,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata demikian pada sidang media Padawan Raft Safari 2024 di Kuching pada semalam.
Tambah Abdul Karim, Sarawak dalam tempoh Julai hingga Disember tahun ini akan menganjurkan pelbagai acara antarabangsa.
Katanya, ini bakal membantu meningkatkan jumlah kemasukan pelancong seterusnya mencapai sasaran.
Sementara itu Abdul Karim memaklumkan bahawa resit pelancongan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini melebihi RM6.23 bilion.
Katanya, jumlah itu adalah 25.29 peratus melebihi RM4. 98 bilion yang dicatat pada tempoh yang sama tahun 2023. — DayakDaily