Abdul Karim sokong pelaksanaan umur layak mengundi 18 tahun

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Advertisement

Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 27 Mac: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyokong pelaksanaan umur layak mengundi di negara ini kepada 18 tahun.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin menghadapi kesukaran untuk melaksanakannya kerana warganegara yang layak harus mendaftarkan diri sebagai pemilih.

Advertisement

“Untuk membolehkan anda layak mengundi di Malaysia, ia melibatkan pendaftaran dengan SPR.

“Saya fikir SPR mungkin menghadapi beberapa kesukaran dan kerana itu telah mengumumkan untuk menangguhkan pelaksanaannya.

“Biar pun saya menyokong, saya faham ada beberapa masalah yang perlu ditangani oleh SPR,” katanya ketika ditemui pada  Majlis Pelancaran Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Sambir hari ini.

Tambah Abdul Karim, Rang Undang-Undang (RUU) yang menurunkan usia pengundian kepada 18 tahun telah diusulkan di Parlimen pada 2018.

Adun Asajaya itu berkata, Parlimen juga telah  bersetuju bahawa individu yang berusia 21 tahun ke atas boleh bertanding dalam sebarang pilihan raya di negara ini.

Justeru jelas beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, tiada masalah bagi Malaysia untuk melaksanakan dasar menurunkan usia mengundi menjadi 18 tahun.

“RUU itu mendapat sokongan sebulat suara dari semua ahli Parlimen, sama ada dari Pakatan Harapan (PH) atau pembangkang pada waktu itu.

“Meskipun telah diluluskan di Parlimen, ia harus diwartakan dan disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Saya difahamkan ia telah diwartakan,” katanya.

Berhubung individu berusia 21 tahun sebagai calon pilihanraya, beliau berkata mereka hanya perlu membawa borang pencalonan, wang deposit dan MyKad untuk layak menjadi calon. — DayakDaily

Advertisement