Abdul Karim: Sembilan Projek Rakyat dengan peruntukan RM100 juta berjalan lancar

Abdul Karim pada ucapan penggulungan pada Persidangan DUN hari ini (Nov 11, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 11: Sembilan Projek Rakyat di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan peruntukan RM100 juta berjalan lancar.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perlaksanaan kesemua sembilan projek telah memasuki pelbagai fasa.


“Projek naik taraf Arena Bowling Padang Sarawak dengan kos RM2.8 juta telah siap mengikut jadual.

“Ia juga telah menjadi gelanggang kepada kejohanan Badminton Master Dunia Ke-26 yang berlangsung dari 31 Oktober sehingga 3 November 2019 dan telah dirasmikan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Kementerian Belia dan Sukan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

Tambah Addul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, empat projek lain dijangka siap pada tahun 2020.

Selain naik taraf Arena Bowling Padang Sarawak, lapan Projek Rakyat yang lain adalah pembinaan Perkampungan Sukan Sarawak dengan kos RM30 juta di Petra Jaya, Komplek Sukan Sebauh (RM14 juta), Mini Stadium Selangau (RM8 juta), Mini Stadium Engkilili (RM8 juta).

Empat projek lain adalah Arena Sukan Bau (RM5 juta), Komplek Sukan Sadong Jaya (RM13.2 juta), projek naik taraf Komplek Sukan Balingian (RM9 juta) dan projek Mini Stadium Balai Ringin (RM10 juta).

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata kementerian memberi penekanan yang lebih khusus kepada aspek pembangunan belia dan sukan secara inklusif, komprehensif dan efektif.

Katanya ia adalah usaha mencapai visi dan misi kementerian iaitu “Ke Arah Belia Cemerlang Bertaraf Dunia” dan “Sukan Untuk Semua”.

“Maka kementerian telah menyediakan perancangan strategik yang berwawasan, serta akan merangka pelan dasar dan polisi pembangunan belia demi memperkasakan golongan belia di Sarawak,” ujar beliau. — DayakDaily