Abdul Karim: Sarawak ditampar PH dengan hanya diberi seorang Menteri

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, July 2: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kecewa melihat Sarawak hanya diberi seorang jawatan menteri di dalam kabinet baharu kerajaan persekutuan.

Beliau menyifatkan ia mencerminkan bahawa Sarawak tidak penting bagi kepimpinan pusat yang baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Sarawak telah menjadi penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan negara tetapi dibayar balik dengan hanya seorang Menteri dalam kabinet kerajaan PH.


“Ini adalah tamparan ke muka semua rakyat Sarawak. Malah, ia ditambah lagi dengan tiada seorang pun wakil daripada kaum Melayu Sarawak termasuk kaum Iban atau Bidayuh di dalam kabinet baharu ini.

“Melayu dan Iban yang merupakan populasi terbesar di Sarawak langsung tidak diberi apa-apa pengiktirafan di dalam pembuat polisi dan pembangunan negara. Ini adalah fenomena yang menyedihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai Kabinet Malaysia yang mengangkat sumpah di Istana Negara, hari ini iaitu membabitkan 13 Menteri dan 23 Timbalan Menteri.

Daripada itu, hanya seorang Menteri dilantik dari Sarawak iaitu Baru Bian sebagai Menteri Kerja Raya manakala Chong Chieng Jen sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Namun demikian, Karim turut mengucapkan tahniah kepada Baru dan Chong di atas pelantikan mereka, sambil menyifatkan kedua-duanya sememangnya layak kerana mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk mengambil alih tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya gembira untuk mereka dan saya mendoakan mereka berjaya dalam memainkan peranan baharu sekarang,” katanya.

Beliau juga berharap agar Baru dan Chong dapat memastikan hak Sarawak dilindungi dengan baik dan membawa pembangunan Sarawak seiring dengan keutamaan yang diberikan kepada Semenanjung Malaysia.

“Saya sangat yakin dengan pengalaman yang dimiliki, mereka boleh menjalankan tugas dengan baik,” katanya. — DayakDaily