Abdul Karim: PRN12 semakin hampir

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 12 Okt: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) sudah semakin hampir.

Menurut beliau, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan November ini adalah yang terakhir sebelum DUN dibubarkan.


“DUN mesti dibubarkan, secara pribadi saya melihat PRN12 tidak lama lagi kerana bulan November adalah persidangan DUN yang terakhir.

“Tempoh DUN untuk penggal ini berakhir pada pertengahan 2021,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Taman D-Virtual di sini hari ini.

Berhubung tarikh pembubaran DUN, beliau berkata ia adalah hak prerogatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menentukannya.

Dalam pada itu, Abdul Karim yakin ketua menteri akan membentangkan bajet mesra rakyat pada persidangan DUN nanti.

Walaupun dilanda pandemik Covid-19 katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan, kerajaan berada di kedudukan baik.

“Baru-baru ini Sarawak memperolehi bayaran Cukai Jualan (SST) RM2.95 bilion daripada Petronas.

“Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah dilaksanakan dengan baik di seluruh negeri sehingga kita menghadapi masalah mendapatkan kontraktor.

“Ini bermakna banyak perkara telah berlaku, pengurusan kerajaan sangat baik dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) patut diberi satu lagi mandat oleh rakyat,” ujar beliau.

Tambah beliau, sejak berakhirnya PRN11 yang lepas, khususnya dalam tempoh tiga tahun ini banyak pembangunan telah dibawa oleh kerajaan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan projek jalan pesisir, pembinaan jambatan utama, penubuhan TV Sarawak dan pelbagai pembangunan yang lain.-DayakDaily.