Abdul Karim: Pastikan kemenangan GPS demi kelancaran program pembangunan

Abdul Karim (kiri) pada lawatan ke sekitar kawasan Roxy Villa di Sematan hari ini (11 April, 2021).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

SEMATAN, 11 April: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyeru rakyat untuk terus memastikan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihanraya Negeri (PRN) yang bakal tiba.

Katanya, ia penting untuk memastikan perancangan pembangunan yang telah disusun kerajaan Negeri berjalan dengan lancar.

Advertisement

“Jagalah kawasan dengan baik kalau kita mahu melihat perancangan dan kawasan terus membangun, kita juga perlu memastikan wakil-wakil rakyat dari GPS menang pada pilihanraya nanti,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Roxy Villa di Sematan yang turut dihadiri ADUN Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, kerjasama dan perancangan yang baik harus dibuat untuk memastikan kemenangan walaupun kawasan seperti kawasan DUN Tanjung Datu adalah merupakan kubu kuat GPS .

“Pilihanraya akan diadakan tidak lama lagi, jadi bersiap sedialah, kita tidak mahu melihat perancangan pembangunan di kawasan ini yang telah berjalan dengan begitu baik dibiarkan cacat.

“Kita sudah hampir cacat dalam tempoh 22 bulan apabila kerajaan bertukar, akibatnya Projek Jalan Pan Borneo dibatal, banyak kontrak-kontrak dan pembinaan dibatal.

“Projek Jambatan Rambungan dan Batang Lupar dibatalkan,” katanya yang juga ADUN Asajaya.

Demi menyelamatkan keadaan tambah beliau, kerajaan GPS tampil untuk meneruskan semua projek yang telah dibatalkan kerajaan ketika itu (Pakatan Harapan).

“Selepas itu kerajaan Negeri terpaksa tampil untuk menyelamatkan keadaan, dan apabila anda menyelamatkannya, ia melibatkan jumlah wang yang besar.

“Jangan kita tersilap dalam memilih pemimpin, pilih kerajaan yang baik. Ketua menteri kita bekerja keras dan berada di merata tempat untuk bertemu rakyat.

“Wakil-wakil rakyat GPS juga sering berada di kawasan untuk bertemu dengan rakyatnya,” ujar Abdul Karim. — DayakDaily

Advertisement