Abdul Karim: Lebih banyak dana disalur tingkat kelajuan capaian digital

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 31 Okt: Sarawak pastinya akan menyalurkan lebih banyak dana untuk menambah serta meningkatkan kelajuan capaian internet dan digital di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak agak bertuah kerana mempunyai seorang Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang begitu bersemangat mahu mentranformasikan ekonomi Sarawak daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi berasaskan digital.

Advertisement

“Kita merupakan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai pihak berkuasa multimedia iaitu Sarawak Multimedia Authority (SMA) yang memberikan fokus kepada usaha-usaha kita untuk membolehkan penembusan dan kelajuan capaian internet, khususnya di kawasan luar bandar dapat ditingkatkan.

“Saya pasti akan lebih banyak dana akan disalurkan kepada SMA bagi perkara itu dalam bajet negeri akan datang dalam usaha untuk menjadikan seluruh kawasan di negeri ini mempunyai kelajuan internet sekaligus memenuhi aspirasi  beliau yang mahu menjadikan rakyat Sarawak termasuk golongan belia yang mempunyai kemahiran digital yang tinggi,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Siri Jelajah Belia Dewan Undangan Negeri Tupong di  Waterfront Hotel di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, kelajuan capaian internet dan digital menjadi perkara yang sering disuarakan oleh belia di Sarawak, khususnya yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Katanya, perkara itu seringkali diutarakan oleh golongan terbabit setiap kali kementerian itu melakukan atau melaksanakan siri jelajah belia di seluruh Sarawak.

“Dalam setiap jelajah belia yang kita lakukan, termasuk hari ini, 18 kesemuanya, satu soalan berkaitan kelajuan capaian internet dan digital ini pasti akan di tanyakan oleh belia-belia kita yang turut serta dalam sesi jelajah atau dialog yang kita adakan pada siri tersebut,” katanya.

Beliau berkata, jika di kawasan bandar seperti di Kuching, masalah kelajuan capaian internet tidak menjadi masalah namun keadaan berbeza apabila berada di kawasan luar bandar.

Kesukaran itu menjadikan perkara tersebut menjadi antara fokus yang sering diutarakan oleh belia agar kerajaan mempecepatkan proses menaik taraf kelajuan komunikasi digital di kawasan terlibat.

Tegas beliau, kepimpinan utama negeri amat faham akan situasi tersebut dan usaha ke arah penambahbaikan dalam meningkatkan penembusan serta kelajuan capaian internet terutama di kawasan luar bandar sentiasa dan sedang dilaksanakan. — DayakDaily

Advertisement