Abdul Karim: Kerajaan giatkan usaha tambah penerbangan terus ke Sarawak

Abdul Karim(duduk tengah) pada sidang media selepas ucapan penggulungan di Persidangan DUN hari ini (November 11, 2019).
Advertisement

Chris Bishop

KUCHING, NOVEMBER 11: Kerajaan Negeri berusaha menyediakan banyak lagi penerbangan terus ke Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, Royal Brunei Airlines telah melakukan penerbangan terus ke Bintulu dari Bandar Seri Begawan pada 5 November lepas.

Advertisement

Seterusnya kata Abdul Karim, Royal Brunei Airlines juga akan memulakan penerbangan dari destinasi yang sama ke Sibu pada 14 November ini.

“Terdahulu, syarikat penerbangan itu telah memulakan penerbangan terus dari Bandar Seri Begawan ke Kuching pada Disember tahun lepas dan telah mendapat sambutan baik.

“Untuk rekod, jumlah penumpang untuk penerbangan tersebut sehingga September tahun ini adalah 19,799.

“Majoriti penumpang adalah rakyat Brunei dengan jumlah 13,483 diikut rakyat Malaysia dengan jumlah 4,562, dan selebihnya rakyat Australia, China dan British,’katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) hari ini.

Tambah Abdul Karim, Kerajaan Negeri akan mengadakan kerjasama pemasaran dengan Air Asia, SCOOT, Malaysia Airlines dan Malindo Air untuk memperomosi penerbangan ke Sarawak.

Pada sidang media selepas ucapan penggulungan, Abdul Karim berkata usaha juga dilakukan untuk mengadakan penerbangan terus ke China.

Katanya, pengumuman berhubung destinasi penerbangan tersebut akan dibuat setelah perjanjian dimeterai kelak.

“Kita juga berusaha mengadakan penerbangan terus ke Indonesia, Thailand dan negara lain,” ujar beliau.— DayakDaily

Advertisement