Abang maut, adik cedera dalam kemalangan jalan raya

Kelihatan lokasi kejadian melibatkan sebuah motosikal dan Perodua Alza.

BINTULU, September 1: Seorang lelaki maut, manakala adiknya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan Perodua Alza di Bulatan Taman Ria, Tanjung Batu, di sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Roberto Ladie Sulin, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, adik mangsa, Kiong Sulin, 19, pula dilaporkan cedera ringan dalam kejadian itu.


Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal SYM110 dikatakan melanggar belakang Perodua Alza yang bergerak di bulatan sama.

“Kesan kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

“Pemandu Perodua Alza iaitu seorang wanita berusia 39 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

Katanya, adik mangsa juga dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily