Abang Johari tidak tahu cadangan Projek Kereta Api Trans-Borneo oleh syarikat Brunei

Abang Johari ketika ditemui di di Juma'ani Pavilion, Petra Jaya pada 31 Mac, 2024.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 31 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak tahu berhubung cadangan Projek Kereta Api Trans-Borneo (TBR) oleh sebuah syarikat Brunei.

“Saya tidak tahu, kerana kita baru terbaca cadangan Brunei Energy.


“Itu mungkin cadangan dari pihak swasta yang tidak kena mengena dengan kerajaan.

“Kerana kalau kita hendak buat, mesti ada persetujuan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei,” katanya ketika ditemui di Pelancaran Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza di Juma’ani Pavilion hari ini.

Tambah Abang Johari, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Malaysia pada masa sekarang ada membuat kajian berhubung jalan penghubung keretapi tersebut.

Katanya, EPU akan berhubung dengan kerajaan Indonesia dan Brunei untuk mendapatkan kata sepakat.

Menurut laporan cadangan Bruenergy Utama, projek kereta api berkelajuan tinggi kepulauan Borneo akan dibina dalam dua fasa, membabitkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.

Fasa pertama projek menyasar untuk menghubungkan bandar kuasa ekonomi di pesisir Barat yang bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Laluan bagi fasa pertama itu melalui Kota Kinabalu, Kimanis/Papar, Beaufort, Sipitang, Lawas, Bangar, Limbang, Bukit Panggal, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kuching, Sambas, Singgawang, Mempawah dan Pontianak.

Manakala fasa kedua akan menelusuri Utara dan Timur Kalimantan yang menghubungkan laluan utama dengan bandar besar Borneo iaitu Samarinda dan kemudiannya dengan ibu negara Indonesia iaitu Nusantara.

Laluan tersebut merangkumi Bukit Panggal, Long Seridan, Ba’kelalan, Long Bawan, Malinau, Tanjung Selor, Tandjungredeb, Pengadan, Lubuk Tutung, Bontang, Samarinda dan Balikpapan. — DayakDaily