Abang Johari terima kunjungan Panglima Tentera Darat

Abang Johari (tengah) menerima kunjungan hormat Zamrose (dua dari kiri) di Kuching hari ini (9 Mac 2021).

KUCHING, 9 Mac: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain bertempat di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit berkenaan merupakan kunjungan rasmi sulong Zamrose sejak beliau menjawat jawatan tersebut pada 11 Jun 2020 yang lalu.

Pada kunjungan itu, Zamrose turut memaklumkan berkenaan beberapa aktiviti sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke–88 khususnya yang berkaitan dengan Program Jiwa Murni yang dilaksanakan di Sarawak.


Di antara perkara yang turut dibincangkan adalah rancangan pembinaan empat buah pos imbangan di sempadan dan juga keperluan pembinaan kem di Bintulu bagi pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Sempadan. — DayakDaily