Abang Johari terima kunjungan hormat Menteri Kesihatan dan Unimas

Abang Johari (tiga dari kanan) menerima kunjungan hormat Dr Adham (tiga dari kiri) serta rombongan di Kuching.

KUCHING, 13 April: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg menerima kunjungan hormat Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr Adham Baba di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Pada pertemuan itu, Abang Johari dan Dr Adham membincangkan perkara berkaitan wabak Covid-19, termasuk kaedah pembendungan dan program vaksinasi.

Rombongan menteri berkenaan turut disertai oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Dato Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Turut mengiringi Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari (dua dari kanan) menerima watikah perlantikan Pro-Canselor Unimas daripada Matjeraie.

Sejurus selepas itu, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Kunjungan bertujuan menyampaikan dan menyerahkan watikah perlantikan Pro-Canselor Unimas kepada Abang Johari untuk tempoh tiga tahun mulai 15 Mac 2020 hingga 14 Mac 2023.

Turut serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Dr Sabariah Putit yang juga Ahli Lembaga Pengarah Unimas, Naib Canselor Unimas Professor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Pendaftar Unimas Azlan Ramli. — DayakDaily