Abang Johari: Stesen pengisian bersepadu dibina di Bandar Baru Batu Kawah

Abang Johari

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 JAN: Sarawak menerusi SEDC Energy akan mewujudkan stesen pengisian bersepadu yang kedua di Bandaraya Kuching dalam masa
terdekat.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, stesen yang menawarkan bahan api fosil (petrol dan diesel), elektrik serta juga hidrogen akan dibina di Bandar Baru Batu Kawah.


“Kita(Sarawak) satu-satunya negeri di Malaysia, mungkin satu-satunya di rantau ini yang memiliki stesen pengisian 3 dalam 1.

“Kita gunakan juga hidrogen kerana kita ingin perkitaran yang mesra alam. Sarawak adalah negeri yang serius dengan keadaan persekitaran dan kita juga menjaga kelestarian hutan.

“Pendapatan dari hutan sudah berkurangan, oleh itu saya tidak mahu pokok-pokok ditebang. Malah kita akan memperbanyakan kerja-kerja
penanaman pokok,’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Dewan Sukan dan Komuniti di Batu Kawah hari ini.

Pada Oktober tahun lepas, Abang Johari telah menyempurnakan majlis pecah tanah stesen pengisian bersepadu 3 dalam 1 yang pertama di Darul Hana, Petra Jaya.

Selain di Darul Hana dan Batu Kawah, stesen yang sama juga dirancang diwujudkan di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

Abang Johari turut berkata bahawa Sarawak akan mempertingkatkan rangkaian internet khususnya di luar bandar sebagai usaha untuk
memastikan program transformasi ekonomi digital berjalan lancar.

Menurut beliau, formula dan cara baharu dalam mempertingkatkan rangkaian internet di kawasan luar bandar akan diumumkan pada Februari ini.

Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan pencapaian sebuah syarikat digital dari Sarawak yang telah memenangi tempat pertama pada pertandingan mencipta aplikasi peringkat kebangsaan semalam.

Katanya, syarikat ini mencipta aplikasi yang boleh menghubungkan data penyelenggaraan jalanraya.

“Bahagian mana jalan perlu diperbaiki, bagaimana profil jalan tersebut termasuk keadaan tanah di bawah jalanraya.

“Ia hanya dengan menggunakan kamera yang dipasang pada cermin hadapan kereta dan ia mampu mengumpul semua data.

“Data ini boleh dianalisa oleh Jabatan Kerja Raya(JKR) dan membantu mengurangkan kos, dan kita boleh perbaiki kaedah penyelengaraan
jalanraya,’ ujar Abang Johari.

Dengan kejayaan itu, syarikat tersebut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi(Mosti). – DayakDaily