Abang Johari: Sarawak setuju dengan mekanisme perundangan MoF

Abang Johari menjawab soalan pemberita di Kota Samarahan hari ini (Julai 7, 2019).

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, Julai 7: Kerajaan negeri bersetuju dengan mekanisme perundangan yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung dengan bayaran balik hutang RM1 bilion bagi tujuan baik pulih sekolah daif.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata empat syarat dalam mekanisme perundangan itu telah dipersetujui secara prinsipal.


“Sebenarnya kita sudah mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kewangan dan apa yang disebut oleh Menteri Kewangan adalah betul.

“Empat syarat itu kita persetujui,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Mesra Armada Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Suarah Samarahan hari ini.

Abang Johari bersalaman dengan sebahagian penyokong PBB yang memenuhi Dewan Suarah Samarahan.
Abang Johari(tujuh dari kanan) merakamkan kenangan bersama ahli majlis tertinggi Pemuda PBB di majlis tersebut. Turut kelihatan Uggah (lima dari kiri).

Dengan itu, Abang Johari menganggap isu tersebut telah selesai dan kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat lagi dengan MoF dan Kementerian Pendidikan untuk perlaksanaan.

Kelmarin, MoF mengeluarkan kenyataan media mengatakan kerajaan persekutuan telah bersetuju secara dasar menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang kerajaan Sarawak.

Mekanisme perundangan yang ditetapkan adalah seperti berikut: pertama, kerajaan Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada kerajaan persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

Ini adalah selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kedua, kerajaan persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Ketiga, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan kerajaan persekutuan semasa.

Keempat, kerajaan persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan kerajaan Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

Turut hadir di majlis tersebut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan menteri kabinet yang lain. — DayakDaily