Abang Johari saksi penyerahan Mattary di antara LAKMNS dan MIS

Abang Johari (berdiri tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Penyerahan Mattary.

KUCHING, 22 Dis: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menyaksikan Memorandum Perjanjian Penyerahan Ma’ad Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’akub (Mattary).

Pada majlis itu, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) menyerahkan pengurusan Mattary kepada Majlis Islam Sarawak (MIS).

LAKMNS diwakili Setiausaha Kehormatnya Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor dan Ahli Lembaga Drahman Jaladin manakala MIS diwakili Yang Di-Pertua Datu Misnu Taha dan Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin.


Menerusi perjanjian ini, keseluruhan pentadbiran dan pengurusan Mattary termasuk Kompleks Pusat Pengajian Al-Quran Tun Abdul Rahman Yaakub (Patary) milik LAKMNS akan diambil alih oleh MIS bermula 1 Januari 2021.

Dalam Majlis Ulang Tahun Ke-10 Mattary yang berlangsung pada 9 Disember lalu, Abang Johari yang juga Pengerusi LAKMNS telah mengumumkan penyerahan Mattary daripada LAKMNS kepada MIS.

Ia sebagai salah satu usaha kerajaan Sarawak memartabatkan Institusi Tahfiz di negeri ini.

Mattary mula ditubuhkan pada tahun 2011 dan dikendalikan LAKMNS termasuklah pelan pentadbiran dan pengurusan pembinaan Kompleks Patary dengan perbelanjaan sebanyak RM22.81 juta.

Kompleks ini mempunyai keluasan 20.8 ekar dan menyediakan 18 buah kelas serta bilik-bilik untuk kemudahan pembelajaran dan pengajaran.

Turut hadir Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai. — DayakDaily