Oleh Chris Bishop
KUCHING, Nov 4: Peruntukan sebanyak RM13.357 bilion dicadang untuk implemantasi projek berimpak tinggi di negeri ini.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, peruntukan itu adalah untuk memacu pembangunan di kawasan luar bandar.
“Cadangan dengan peruntukan besar ini adalah untuk perlaksanaan beberapa projek berimpak tinggi seperti projek Jalan Utama Kedua dengan peruntukan RM1.526 bilion dan Rangkaian Jalan Raya Pesisir Pantai berjumlah RM1.173 bilion.
“Sejumlah RM1.148 bilion untuk projek di bawah RECODA (Regional Corridor Development Authority), RM500 juta untuk Projek Rakyat, RM500 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar(RTP).
“Peruntukan RM343 juta untuk perlaksanaan projek dibawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dan RM236 juta untuk perlaksanaan Projek Kecil Luar Bandar (MRP),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan Belanjawan Negeri 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Mengulas berhubung Projek Rakyat, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Menteri Perancang Ekonomi berkata setakat ini 408 projek telah diluluskan kerajaan.
Katanya, kesemua projek akan memberi peluang kepada rakyat terutama yang tinggal di luar bandar untuk menikmati kemudahan dan infrastruktur yang lebih baik.
“Projek-projek ini melibatkan pembinaan jalan dan jambatan, bekalan air dan elektrik selain pembangunan kawasan.
“Perlaksanaan projek akan dipantau jawatankuasa koordinasi pembangunan negeri yang dipengerusikan saya sendiri,” ujar Abang Johari. — DayakDaily