Abang Johari rasmi ‘Taman D-Virtual’ pertama di Borneo

Abang Johari (empat dari kiri) merakamkan kenangan di ‘rotating globe’ yang pertama dibina di Malaysia iaitu di Taman D-Virtual.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 12 Okt: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini merasmikan Taman D-Virtual iaitu taman realiti
maya (VR) pertama di Borneo.

Terletak di Jalan Meranek di sini, Taman D-Virtual dibangunkan oleh Serba Dinamik Group Berhad dengan kos RM13 juta.

“Taman ini juga sebahagian daripada program kesedaran pembelajaran kepada pelajar-pelajar kita.

“Dalam permainan dunia ‘virtual’, pemain-pemain membina bandar dengan imaginasi masing-masing dan bandar ‘virtual’ ini boleh menjadi realiti,” kata Abang Johari dalam ucapan perasmiannya di sini hari ini.

Tambah beliau, pembinaan taman tersebut selari dengan usaha kerajaan negeri yang menggunapakai pendekatan digital di dalam pengurusan ekonomi.

Dalam pada itu, Pengerusi Serba Dinamik Group Berhad Datuk Abdul Kadier Sahib dalam ucapan aluan berkata, Kota Samarahan dipilih sebagai lokasi kerana ia adalah kawasan luar bandar.

Selain itu katanya, Taman D-Virtual berpotensi menjadi ‘hub’ pembelajaran kerana berhampiran dengan beberapa pusat pengajian tinggi.

“Syarikat juga menekankan usaha untuk memberi kesedaran kepada penduduk luar bandar agar boleh menggunakan teknologi digital,” kata Abdul Kadier.

Taman D-Virtual menawarkan kira-kira 10 perjalanan pengembaraan hiburan secara realiti maya dengan VR Elevation D’Luxe terbukti antara yang paling popular.

Tarikan lain termasuk VR Speed Cruiser, VR Quad Squad, VR Gyrate, VR D’Battleship, VR Knight Rider, VR Giant Slide, VR Trekker, VR Gatling Gun serta Enchanted Chamber.

Orang ramai juga berpeluang menikmati pengalaman hiburan seperti eSports Centre dan skrin layar Teater Hologram yang direka khusus serta memaparkan pengalaman sinematik paling berevolusi.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Karim Abdul Karim Rahman Hamzah. — DayakDaily