Abang Johari: Pemegang Kenyalang Gold Card diberi perkhidmatan bas percuma

Abang Johari (lima kanan) merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas Sri Satok di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Jan: Pemegang Kenyalang Gold Card bakal menikmati perkhidmatan pengangkutan awam percuma di Bandaraya Kuching.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia adalah untuk memberi kemudahan kepada golongan yang berumur lebih 60 tahun.

“Inisiatif membabitkan perkhidmatan bas yang dikelolakan oleh kerajaan negeri seperti bas hidrogen dan elektrik di Bandaraya Kuching.

“Pemegang kad boleh menggunakan perkhidmatan bas ini secara percuma dan perkara ini sedang dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di sini, hari ini.

Selain itu katanya, inisiatif kerajaan negeri melalui Kenyalang Gold Card membolehkan golongan itu menikmati harga istimewa ketika membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan tertentu.

“Antaranya, pemegang kad boleh menikmati diskaun rawatan di klinik dan diskaun pembelian barangan keperluan,” katanya.

Tambah Abang Johari, syarat-syarat untuk memohon kad itu ialah pemohon mesti warganegara Malaysia, pemegang kad pengenalan ‘K’, permaustatin tetap dan berumur 60 tahun pada 1 Januari, 2020.

Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM24.4 juta dalam inisiatif Kenyalang Gold Card yang dijangka memberi manfaat kepada 16 peratus (526,000) populasi warga emas berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030.

Dalam pada itu, Abang Johari turut memaklumkan PAWE Sri Satok akan menjadi contoh kepada pembangunan PAWE yang lain.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang untuk membina PAWE di Petra Jaya dan bandar-bandar besar di seluruh negeri.

“PAWE Sri Satok akan menjadi contoh untuk kita bangunkan PAWE yang lain dan peruntukkan khas akan disediakan,” ujar beliau.

PAWE Sri Satok ditubuhkan pada 5 Mei, 2019, atas inisiatif isteri ketua menteri, Datuk Amar Juma’Ani Tuanku Bujang, yang turut hadir di majlis itu.

Ia merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM72,000 untuk PAWE Sri Satok. — DayakDaily