Abang Johari: Pembentangan semula Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Sarawak sedia

Abang Johari ditemui pemberita di Kuching hari ini.

KUCHING, MAC 4: Kerajaan Negeri sedia sekiranya ada usaha untuk membentangkan semula Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat pada Mei 2020.

Ditemui pada pelancaran Wawasan Ummah Gemilang MIS 20-30 di Kuching hari ini, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan berhubung perkara tersebut diserahkan kepada kerajaan persekutuan.

“Terpulanglah kepada mereka (kerajaan persekutuan), jika mereka ingin bentangkan pindaan pada perlembagaan kita memang bersedia.


“Dahulu memang ada usaha untuk bentangkan semula, kita tunggu sahajalah,” kata Abang Johari.

Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama Semenanjung Malaysia.

Pindaan perlembagaan itu pernah dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal tahun 2019 tetapi tidak berjaya diluluskan.

Dalam pada itu, Abang Johari yakin keputusan menangguhkan persidangan Dewan Rakyat kepada Mei ini adalah keputusan yang dibuat berlandaskan perlembagaan.

“Mesti saya rasa pihak kerajaan persekutuan telah melihat kepada tempoh jangka masa dimana persidangan boleh diadakan,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 9 Mac ini telah ditangguhkan kepada 18 Mei 2020.

Perkara ini disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Arif Md Yusuf selepas pihaknya menerima pemakluman daripada Pejabat Perdana Menteri.

Mohamad Arif dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ini akan berlangsung selama 15 hari. —DayakDaily