Abang Johari: Ketidaktentuan politik negara diselesaikan rakyat Sarawak

Abang Johari (tiga dari kanan) membuka halaman buku Wawasan Ummah Gemilang MIS 20-30 sebagai simbolik pelancaran.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 4: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin ketidaktentuan politik yang dihadapi negara dalam tempoh seminggu yang lepas telah diselesaikan rakyat Sarawak.

Kata Abang Johari, keputusannya yang memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri adalah mewakili suara rakyat Sarawak yang telah memilih beliau sebagai ketua menteri.


“Mereka menunggu Abang Johari, menunggu Gabungan Parti Sarawak (GPS) di mana keadaan negara kucar-kacir dan kita (GPS) hendak mengamankannya.

“Tuhan mengiringi saya dan sekarang kita sudah ada perdana menteri. Kalau tidak, masih bergaduh sesama sendiri.

“Saya kata negara dan rakyat diutamakan dahulu dan bukannnya pemimpin-peimpin yang berebut kuasa.

“Bukan saya, tetapi rakyat Sarawak yang menentukannya kerana rakyat telah memilih saya menjadi ketua menteri,” tegas Abang Johari.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Wawasan Ummah Gemilang Majlis Islam Sarawak (MIS) 20-30 di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, beliau tidak mempedulikan apa pendapat pemimpin-pemimpin lain berhubung keputusannya kerana tanggungjawab menyelamatkan rakyat dan negara adalah lebih penting.

“Kalau tidak, mereka akan terus bergaduh dan kucar-kucar — sekali keluar, sekali masuk dan rakyat pun jadi pening kepala.

“Maka kita Sarawak telah menyelesaikannya,” ujar Abang Johari yang juga pengerusi GPS.

Berikutan keputusan Abang Johari, Muhyiddin telah mengangkat jawatan Perdana Menteri Kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad lepas (Mac 1). — DayakDaily