Abang Johari kekal Presiden PBB, isyarat keyakinan ahli-ahli parti yang mahukan kerajaan yang stabil

Abang Johari ketika di temui di BCCK hari ini (2 Mei 2022).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Mei: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli parti kerana terus memberi kepercayaan kepada beliau untuk kekal di jawatan tertinggi itu.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak turut menyifatkannya sebagai keinginan ahli-ahli PBB yang mahukan sebuah parti yang stabil.

“Mesyuarat diperingkat cawangan telah berjalan dengan lancar, saya ucapkan terima kasih diatas keyakinan mereka kepada saya.

“Pertama, ia adalah keyakinan dan kedua ialah saya rasa semua ahi-ahli PBB mahukan sebuah parti yang stabil

“Ini adalah kerana PBB bersama komponen parti yang lain mentadbir negeri dan negeri mesti diterajui kerajaan yang bergerak ke hadapan,” katanya

Abang Johari berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 Yang Di- Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Pada mesyuarat diperingkat cawangan PBB yang telah selesai setakat ini, ahli-ahli parti telah memilih Abang Johari kekal sebagai presiden.

PBB akan mengadakan Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) di Kuching mulai 16 hingga 19 Jun 2022.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily