Abang Johari beri bayangan pendapatan Sarawak tahun 2024 lebih RM13 bilion

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Photo credit: Sarawak Public Communication Unit (Ukas)
Advertisement

KUCHING, 6 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan pendapatan Sarawak pada tahun 2024 melebihi RM13 bilion.

Menurut beliau, ia akan diumumkan pada pembentangan bajet 2025 pada bulan November ini.

“Pada bulan November nanti dengar sahajalah kerana ada pembentangan bajet Sarawak.

Advertisement

“Tahun lepas kita memperolehi RM13 bilion, mungkin tahun ini lebih daripada itu,” katanya di Perasmian Pergerakan Sayap Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sibu hari ini.

Tambah Abang Johari, pendapatan negeri meningkat 2 kali ganda dalam tempoh enam tahun ini.

Katanya, lebihan pendapatan tersebut dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai program pembangunan termasuk mengatasi masalah kemiskinan.

“Untuk membasmi kemiskinan kita mesti mengutamakan pendidikan khususnya anak-anak luar bandar.

“Kita sediakan pendidikan kepada anak nelayan, anak petani, kita beri pendidikan percuma di universiti milik Sarawak.” — DayakDaily

Advertisement