Abang Johari antara ahli rombongan PM ke Brunei

Abang Johari (dua kiri) menghadiri pra-mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Anwar (kiri).

KUCHING, 24 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di negara Brunei Darussalam kira-kira pada jam 12.00 tengahari tadi untuk mengiringi Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan pertama beliau ke Brunei.

Sejurus tiba di Bandar Seri Begawan, Abang Johari menghadiri pra-mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam yang telah dipengerusikan oleh Anwar di sebuah hotel di ibu negara Brunei.

Pra-mesyuarat tersebut telah memperhalusi perkara-perkara kerjasama dua hala yang akan dibawa untuk perbincangan ketika mengadap Tuanku Sultan Brunei esok.

Turut serta mengiringi Abang Johari ialah Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Abu Bakar Marzuki serta beberapa kenamaan lain.

Malam ini, Abang Johari dan Anwar akan menghadiri majlis jamuan makan malam bersama Diaspora Malaysia yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Brunei.

Manakala keesokan harinya, Abang Johari bersama rombongan Malaysia akan mengadap Ke- bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertempat di Cheradi Ratna Kenchana, lstana Nurul lman dan dijangka menghadiri Majlis Santapan Rasmi bertempat di Baitur Rahmah, Istana Nurul lman. — DayakDaily