Abaikan kebersihan, 10 premis perniagaan di arah tutup

Lo (tengah) pada sidang media di Padawan hari ini (1 Mac 2023).

PADAWAN, 1 Mac: Sepuluh premis perniagaan dibawah kawasan seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah diarahkan tutup baru-baru ini atas alasan tidak selamat kepada pengunjung.

Menurut pengerusi MPP Lo Khere Chiang, kesemua premis diarahkan tutup oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching bagi tempoh dua minggu.

Kata Lo yang juga Adun Batu Kitang, ia melibatkan 7 kedai kopi, 2 kedai bakeri dan sebuah restoran.


“Kesemua premis ini terletak di Kota Sentosa, Stapok, Pusat Komersial Liang Kee, Pusat Komersial Golden Court dan Matang Jaya.

“Hasil pemeriksaan, kesemua premis didapati tidak bersih dan membahayakan kesihatan pengunjung.

“Ditemui tahi tikus dan lipas di dalam kesemua premis,” katanya pada sidang media di Bangunan MPP di sini, hari ini.

Tambah Lo, kebersihan premis tidak boleh diambil mudah oleh peniaga kerana keselamatan pengunjung harus di utamakan.

MPP dan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching tidak akan berkrompomi dengan peniaga yang mengabaikan kebersihan premis, katanya.

“Justeru kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan seperti ini.

“Jika operator gagal membersihkan premis selepas 2 minggu, lesen perniagaan mereka akan ditarik balik,” ujar Lo. — DayakDaily