KUCHING, 20 MAC: Seramai 925 orang pelajar Politeknik Kuching Sarawak(PKS) kembali ke kampus dengan mendaftar di kolej kediaman bagi kemasukan Fasa 1 Sesi Disember 2020 yang bermula hari ini dan esok.
Pengarah PKS Jamaliah Ahmad berkata, kesemua pelajar tersebut akan menjalani kuarantin wajib dan pengasingan terlebih dahulu di kolej kediaman masing-masing sebelum boleh mengikuti pembelajaran secara teori dan praktikal.
Katanya, pelajar tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu dari dalam Sarawak dan dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.
“Bagi pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, mereka akan dikuarantin wajib selama 14 hari dan perlu menjalani ujian calitan.
“Manakala pelajar dari dalam Sarawak akan menjalani pengasingan selama 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Jamaliah, PKS juga berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak kerana menanggung kos makan dan minum pelajar yang menjalani kuarantin wajib fasa 1 ini.
Kata Jamaliah lagi, kemasukan pelajar ke PKS adalah secara berfasa dan kemasukan pelajar ketika ini akan tamat pada 15 Mei depan.
Kemasukan pelajar kali ini adalah melibatkan pelajar semester 1 – 5 pelbagai pengajian diploma bagi Sesi Disember 2020 di PKS.
Pelajar yang terlibat adalah pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Petrokimia, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Jabatan Perdagangan.
Antara program pengajian diploma yang terlibat adalah Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DKM), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) DAD, Diploma Teknologi Petrokimia (DTP), Diploma Kejuruteteraan Mekanikal (Penyaman Udara dan Penyejukbekuan) DPU, Diploma Geomatik (DGU) dan Diploma Perkhidmatan Bangunan (DPB).
Semasa sesi pendaftaran tersebut, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup separuh muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman telah diwajibkan kepada kakitangan PKS dan juga para pelajar.
Pendaftaran tersebut bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang di tempat letak kereta PKS.-DayakDaily