9 lelaki ditangkap berjudi holo di Batu Kawa


KUCHING, 21 Feb: Seramai sembilan lelaki ditangkap ketika sedang leka berjudi holo di sebuah premis di Jalan Batu Kawa, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 47 hingga 63 tahun dan merupakan warga tempatan.

Jelasnya, serbuan dibuat sekitar jam 6 petang hasil daripada maklumat dan risikan yang dibuat.


“Sampai di premis, pasukan serbuan terus masuk ke premis di bahagian dapur dan masuk melalui satu pintu ke kaunter kedai di mana terdapat sekumpulan lelaki sedang bermain judi jenis holo.

“Kesemua lelaki tersebut kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aidil memberitahu, premis tersebut merupakan kedai makan dan dijadikan tempat berjudi selepas kedai makan ditutup.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kesemua suspek bersama barang rampasan termasuk wang tunai sekitar RM3,711 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut,” katanya. ā€” DayakDaily