800 pelajar UiTM Sarawak terima Peranti Siswa

Nanta (tiga dari kiri) menyampaikan Peranti Siswa kepada salah seorang pelajar UiTM.

KOTA SAMARAHAN, 2 Nov: Seramai 800 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak telah layak menerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia.

Majlis penyerahan peranti telah disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi di kampus tersebut hari ini.

“Inisiatif Peranti Siswa merupakan usaha kerajaan dalam membantu mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam kelompok keluarga B40.


“Saya telah dimaklumkan bahawa seramai hampir 1,340 pelajar UITM Cawangan Sarawak telah diluluskan permohonan untuk mendapatkan Peranti Siswa.

“Keseluruhannya seramai 7,400 pelajar di negeri ini akan menerima peranti ini dalam masa terdekat. Gunakanlah peranti ini sebaiknya,” katanya.

Di majlis yang sama, Nanta turut menyampaikan bantuan makanan menerusi Program Food Bank Siswa kepada pelajar daripada golongan B40.

Katanya, sejak pelancaran pada Februari 2019 sehingga Oktober 2022, seramai 21,025 telah menerima manfaat dan program ini telah dilancarkan di 28 Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Pada hari ini UITM Cawangan Sarawak merupakan IPT yang ke-29 secara rasminya menerima manfaat ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri. — DayakDaily