8 barangan harga terkawal diwartakan sempena Deepavali 2024 di Sarawak

Matthew memantau barangan di BS Supermarket di Semariang.
Advertisement

KUCHING, 28 Okt: Sebanyak 8 jenis barangan harga terkawal diwartakan di Negeri Sarawak bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak Matthew Dominic Barin, SHMMP Deepavali 2024 mula berkuatkuasa dari 28 Oktober 2024 hingga 3 November 2024.

Lapan jenis barangan tersebut ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

Advertisement

“SHMMP Deepavali 2024 berkuatkuasa selama 7 hari meliputi 3 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 3 hari selepas perayaan,” katanya ketika mengadakan walkabout di BS Supermart di Semariang hari ini.

Tambah Matthew, SHMMP Deepavali 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

KPDN Sarawak katanya telah mengerakkan 214 pegawai Penguat Kuasa dan 97 Pegawai Pemantau Harga di lokasi strategik seluruh Negeri Sarawak.

Pemantauan dijalankan bagi mengesan ketidakpatuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya mana-mana ketidakpatuhan oleh peniaga boleh diambil tindakan mengikut perundangan yang dtetapkan.

Dalam pada itu kata Matthew, Bahagian Penguat Kuasa KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 67,550 premis sejak 1 Januari 2024 sehingga 27 Oktober 2024.

“Ini menghasilkan 746 kes dengan nilai kompaun RM 228,700.00 dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM 22,293,819.27,” kata Matthew. — DayakDaily

Advertisement