76 peserta bakal jayakan Program ‘Jum Bermukun 76 Jam Tanpa Henti’ mulai 27 Mei ini

Abdul Karim (berdiri tengah) pada sidang media Program ‘Jum Bermukun 76 Jam Tanpa Henti'.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Mei: Program ‘Jum Bermukun 76 Jam Tanpa Henti’ untuk catatan The Malaysia Book of Records akan diadakan di Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching pada 27 Mei mulai jam 5 petang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Persembahan Seni Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program diteruskan sehingga 30 Mei jam 9.00 malam dengan jumlah keseluruhan ialah 76 Jam Tanpa Henti.


“Seramai 76 peserta mukun terlibat dalam persembahan Juh Bermukun dengan penyertaan bukan sahaja melibatkan peserta mukun dari Kuching, Samarahan, Mukah, Miri dan Bintulu, tetapi turut disertai oleh pemukun Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Para pemukun akan dibahagikan kepada kumpulan dengan setiap kumpulan akan mempersembahkan dalam jangka masa satu jam tiga puluh minit,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Tambah Abdul Karim, semua saluran radio RTM Sarawak turut menyiarkan program secara lintas langsung pada masa yang sesuai di saluran masing-masing.

Program turut disiarkan secara langsung di Saluran TV1 menerusi Saluran Berita Ehwal Semasa, Selamat Pagi Malaysia serta saluran radio seperti SARAWAKfm, WAlfm seluruh negeri dan REDfm

Bertepatan dengan tajuk ” Longest Non-stop Live Broadcasting Bermukun Performance”, persembahan tersebut disiarkan secara langsung sepanjang 76 jam Tanpa Henti di platform Media Sosial (MEDSOS) Facebook RTM Sarawak.

“Sepanjang 76 jam bersiaran, pendengar setia boleh menyertainya dengan membuat panggilan terus (call-in) agar sesi ‘membeli dan menjual’ pantun dilakukan secara langsung dengan pemantun serta seh gendang melalui talian khas yang akan di uar-uarkan nanti.

“Malah, dengan wujudnya persefahaman dengan rakan rakan LABUANfm dan SABAHfm, usaha sedang dilakukan dengan mewujudkan ‘Stesen Kembar’.

“Ini adalah untuk ketiga-tiga stesen dengan menyiarkan Juh Bermukun secara serentak supaya peminat setia di tiga kawasan dapat berinteraksi,” ujar Abdul Karim.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menyempurnakan Acara Penutup Program ‘Jum Bermukun 76 Jam Tanpa Henti’ pada 30 Mei jam 9 malam. — DayakDaily