70 peratus penduduk Malaysia inginkan PH diberikan lebih masa — Dr Yii

Dr Yii (tiga kanan) memotong kek sempena setahun kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan di majlis tersebut. Turut kelihatan (dari kanan) Zainal, Wong dan Abang Sardon.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING 30 April: Hampir 70 peratus penduduk Malaysia inginkan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) diberikan lebih masa untuk membawa perubahan dan melaksanakan rancangan mereka, kata Ahli Parlimen (MP) Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

Beliau membandingkan hasil kajian ‘Merdeka Centre’ yang dilakukan setelah setahun PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Advertisement

Menurut kajian ‘Merdeka Centre’ katanya, sokongan terhadap kerajaan baharu PH merosot dan hanya 39 peratus penduduk Malaysia berpendapat PH telah berbuat baik.

“Tetapi ada satu lagi statistik yang orang ramai tidak kemukakan, iaitu 67 peratus ataupun hampir 70 peratus daripada penduduk Malaysia berpendapat kerajaan harus diberi lebih masa untuk lakukan yang sepatut.

“Oleh itu, mungkin sekarang ada sentimen ataupun perasaan tidak puas hati, tetapi ramai juga yang mahukan kita diberikan masa,” katanya.

Dr Yii berkata demikian di Perasmian Majlis Sepakat Malaysiaku Harapanku di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam Selasa (30 April).

Mengulas isu yang sama, beliau berkata setahun yang lalu rakyat memilih PH atas satu misi untuk membersihkan Malaysia dari masalah kleptokrasi dan rasuah.

Katanya, rasuah sudah sekian lama berleluasa bukan sahaja di arena politik bahkan di kalangan penjawat awam.

Kita sedar semua ini dan langkah-langkah membersihkan Malaysia dari amalan rasuah bukan dapat dilakukan sehari ataupun dalam tempoh setahun.

“Tapi kita telah mengambil langkah-langkah awal yang patut, antaranya adalah menghadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal ataupun 10 tahun.

“Ini kita harus lakukan pindaan perlembagaan di parlimen disamping kita menghad kuasa perdana menteri,” kata Dr Yii.

Di samping itu tambah beliau, surat sokongan untuk mendapatkan projek kerajaan juga telah dihapuskan kerajaan baharu PH.

Menurutnya, langkah-langkah membanteras rasuah dan kleptokrasi dapat menjimatkan wang negara dan wang tersebut akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui projek projek pembangunan.

“Contohnya, baru-baru ini saya diberitahu yang Kementerian Kesihatan Malaysia akan membina Pusat Kardiologi di Sibu. Menteri Kerja Raya Baru Bian juga telah mengumumkan yang Kerajaan Pusat bersetuju dengan peruntukkan RM5.5 bilion untuk membina jalanraya Jajaran Sarawak-Sabah.

“Inilah hasil langkah-langkah membanteras rasuah dan kleptokrasi, penjimatan disalurkan semula kepada rakyat melalui projek pembangunan,” katanya.

Majlis Sepakat Malaysiaku Harapanku diadakan untuk meraikan setahun kerajaan baharu yang mengambil alih pimpinan negara setelah Pilihanraya Umum Ke-14 pada 9 Mei, 2018.

Turut hadir adalah MP Mas Gading Mordi Bimol, ADUN Padungan Wong King Wei, Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Sarawak Abang Sardon Abang Hashim dan Pengarah RTM Sarawak Zainal Abidin Asri. — DayakDaily

Advertisement