66 asnaf terima sumbangan pada Majlis Iftar Perdana UiTMCS

Abang Johari menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 27 Mac: Seramai 66 asnaf menerima sumbangan daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Majlis Iftar Perdana Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), sumbangan berbentuk wang tunai itu diberikan kepada 50 orang pelajar UiTMCS, lima orang ibu tunggal dan 11 orang staf bagi membantu meringankan beban mereka dalam meraikan Syawal yang bakal tiba.

Dalam pada itu, Abang Johari turut meluangkan masa berbuka puasa bersama-sama pelajar dan kakitangan UiTMCS yang diadakan di Pusat Pelajar Seri Kenyalang, Kampus Samarahan 2 pada Selasa.


Dianggarkan lebih 300 tetamu terdiri daripada pelajar, kakitangan UiTMCS serta tetamu jemputan lain hadir ke majlis berkenaan.

Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan Premier Sarawak menyerahkan sumbangan kepada Surau Al-Hidayah Kampung Plaie, Kota Samarahan yang merupakan sebuah perkampungan saudara baru.

Sumbangan yang disampaikan adalah daripada Unit Zakat dan Wakaf (ZAWAF) UiTMCS dan Lembaga Tabung Haji dengan kerjasama TVS.

Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Dato’ Idris Buang. — DayakDaily