Oleh Dean Adam
SIMUNJAN, Feb 23: Hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan Kampung Lubuk Meranti, Sebangan, dilanda banjir hari ini.
Banjir tersebut telah mengakibatkan seramai 60 orang penghuni daripada 15 buah keluarga dari kampung berkenaan ditempatkan sementara di Dewan Kampung Lutong, Sebangan, di sini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata kesemua mangsa dipindahkan disebabkan kediaman mereka terjejas dinaiki air banjir.
Jelas JPBNS, setakat ini keadaan banjir adalah terkawal dan semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara berada dalam keadaan selamat.
“Maklumat lanjut mengenai kejadian ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” kata JPBNS di sini hari ini.
Sementara itu, pihak keselamatan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.45 pagi. — DayakDaily