KUCHING, April 23: Seramai 58 ‘tahi judi’ yang terlibat dalam kegiatan judi haram dicekup menerusi 30 serbuan yang dijalankan pada minggu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, semua yang ditahan itu terlibat dalam judi loteri haram, judi siber dan judi sabung ayam.
Katanya, kesemua ‘tahi judi’ termasuk seorang warga asing yang diberkas itu berumur antara 17 hingga 58 tahun.
“Serbuan mulai April 16 hingga 22 lepas dilakukan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan.
“Hasil serbuan itu, pasukan polis telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Dev menambah, hasil serbuan polis turut merampas wang tunai sebanyak RM7,820 disyaki daripada aktiviti perjudian haram itu.
Katanya, semua yang ditahan akan direman bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1962,” katanya. — DayakDaily