56,379 bayi terima sijil Endowment Fund Sarawak setakat Februari 2021

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 17 Mac: Seramai 56,379 bayi yang didaftarkan di Sarawak telah mendapat sijil Endowment Fund Sarawak (EFS) setakat 28 Februari lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu bersamaan dengan 83 peratus daripada 68,276 kelahiran bayi yang direkodkan di Sarawak sejak 1 Januari hingga 28 Februari lepas.

“Pemberian ‘one-off’ RM1,000 Endowment Fund Sarawak (EFS) secara simpanan untuk setiap bayi yang dilahirkan telah memberi impak besar kepada kesejahteraan wanita dan keluarga sejak ia diperkenalkan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat negeri di sini hari ini.


Beliau berkata, selari dengan pemberian insentif EFS, golongan ibu bersalin juga turut dibantu menerusi Bantuan Ibu Bersalin (BIB) berjumlah RM450 secara ‘one-off’.

Katanya, sejak diperkenalkan pada tahun 2020 hingga Februari 2021, seramai 27,102 ibu telah mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.

“Jumlah ini adalah 81 peratus daripada 33,118 jumlah ibu bersalin yang direkodkan telah menerima BIB.

“Turut disediakan, Geran Tahunan Khas (GTK) berjumlah RM5,000 khusus untuk Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) yang berdaftar.

“Pada tahun 2019 sebanyak 2,868 atau 91 peratus IPAKK telah mendapat menerima daripada GTK dan bilangan tersebut telah meningkat pada tahun 2020 kepada 2,958 atau 97 peratus IPAKK berdaftar,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, sejak mula diperkenalkan pada Januari tahun lepas, sebanyak 197,122 atau 62.5 peratus pemohonan Kenyalang Gold Card (KGC) diterima daripada anggaran keseluruhan warga emas yang terdapat di sarawak.

Pemegang KGC terbabit, ujarnya, akan berpeluang untuk mendapat potongan istimewa untuk pembelian barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh rakan strategik terlibat.

Katanya, dibawah insiatif tersebut, kerajaan juga turut menyediakan bantuan ihsan kematian bagi waris kepada pemengang KGC bagi tujuan membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam hal pengurusan pengkebumian dan sebagainya.

Jelasnya, sehingga kini, sebanyak 2,572 permohonan bantuan tersebut telah diluluskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerajaan negeri juga turut menyediakan Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP) yang diberikan kepada pesakit buah pinggang dalam kumpulan B40 dan M40 untuk pembiayaan perubatan dan bantuan sokongan.

“Sejak diperkenalkan pada tahun lepas, sebanyak 79 permohonan telah diluluskan di bawah BPBP ini,” katanya.

Tambah Fatimah, Abang Johari pada tahun lepas telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak bagi membantu usahawan kecil dan sederhana.

Peruntukan tersebut, katanya, telah membantu 1,000 usahawan wanita untuk mendapatkan modal pusingan bagi meningkatkan taraf ekonomi dan daya upaya golongan wanita di Sarawak. — DayakDaily