Orang ramai digesa untuk tidak membeli, menggunakan produk tradisional Herbun Plaster

Gambar produk Herbun Plaster yang telah dikesan mengandungi racun berjadual diphenhydramine.

KUALA LUMPUR, Okt 9: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional Herbun Plaster (MAL07031214T) yang telah dikesan mengandungi racun berjadual diphenhydramine.

KKM dalam satu kenyataan media semalam menyatakan bahawa pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-339 bertarikh 3 Oktober 2019 berikutan pengesanan racun berjadual tersebut di dalam produk berkenaan, yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Produk Herbun Plaster didaftarkan sebagai produk tradisional untuk sakit belakang, sakit sendi dan sakit otot.


KKM juga berkata bahawa Diphenhydramine merupakan sejenis antihistamin yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperolehi daripada doktor atau ahli farmasi. Diphenhydramine digunakan untuk melegakan reaksi alahan. Kesan sampingan diphenhydramine yang digunakan secara topikal termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya.

Oleh itu, penjual dan pengedar produk ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahankesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk Herbun Plaster adalah dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store. — DayakDaily