50 sekolah denominasi Anglican terima dana bantuan Unifor

Sagah (dua dari kiri) menyampaikan surat kelulusan bantuan dana kepada Pengetua SMK St Thomas.

KUCHING, 15 Nov: Sebanyak 50 buah sekolah di bawah denominasi Anglican di seluruh negeri hari ini menerima bantuan dana Sekolah Mubaligh dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

Ia melibatkan lima sekolah menengah dan 45 sekolah rendah dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6 juta.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ia adalah polisi Kerajaan Negeri untuk menambah peruntukan yang sedia ada dari kerajaan persekutuan. 


“Sebelum ini kerajaan persekutuan memang ada mengagihkan peruntukan kepada sekolah-sekolah mubaligh tetapi jumlahnya tidak mencukupi.

“Banyak sekolah-sekolah ini terutama sekali di luar bandar di dalam keadaan yang tidak sempurna. Kita melihat bahawa ini perlu diberi bantuan.

“Maka ketua menteri setelah berbincang dengan timbalannya bersetuju membantu sekolah-sekolah ini dan kita mula mengagihkan peruntukan pada tahun ini.

“Kebanyakan sekolah-sekolah ini terletak di luar bandar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Sekolah Mubaligh Denominasi Anglican Sarawak 2021 di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Sagah membayangkan bahawa polisi menyediakan peruntukan kepada sekolah-sekolah mubaligh ini akan diteruskan pada tahun depan.

Katanya, sekolah-sekolah mubaligh telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan pendidikan di negeri ini khususnya di dalam mendidik anak-anak di luar bandar.

“Saya berharap polisi ini akan diteruskan pada tahun hadapan dan kita baru bermula pada tahun ini.

“Dan ia mampu diteruskan jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih kekal menjadi kerajaan,” ujar beliau yang juga Penasihat Sekolah Mubaligh denominasi Anglican bagi Diocese of Kuching.

Selain dari denominasi Anglican, Kerajaan Sarawak telah mengagihkan bantuan dana untuk 30 buah sekolah denominasi Roman Katolik Bahagian Kuching sebanyak RM3.8 juta.

Manakala 23 buah sekolah denominasi Roman Katolik Bahagian Sibu menerima peruntukan berjumlah RM2.76 juta serta tujuh Sekolah Mubaligh denominasi Roman Katolik Bahagian Miri menerima RM840,000. 

Bagi denominasi Methodist pula, Sarawak Iban Annual Conference (SIAC) menerima peruntukan berjumlah RM960,000 untuk lapan buah sekolahnya manakala Sarawak Chinese Annual Conference (SCAC) pula menerima peruntukan sebanyak RM600,000. 

Turut hadir Pengarah Unifor Richard Lon dan Uskup Diocese of Kuching (Sarawak dan Brunei Darussalam) Datuk Danald Jute. — DayakDaily