50 peserta ikuti kursus asas pertolongan cemas anjuran Jabatan Hutan Sarawak

Sesi fotografi bersama peserta-peserta Kursus Asas Pertolongan Cemas anjuran Jabatan Hutan Sarawak.

KUCHING, Ogos 29: Seramai 50 orang peserta telah menghadiri kursus Asas Pertolongan Cemas yang dianjurkan oleh Jabatan Hutan Sarawak semalam (Ogos 28).

Kursus yang diadakan selama sehari itu merupakan kursus anjuran Jabatan Hutan Sarawak melibatkan pegawai dari pelbagai Bahagian dan Pejabat Hutan Wilayah yang kebanyakkannya adalah terdiri dari kalangan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan Jabatan Hutan Sarawak.

Menurut kenyataan media daripada Jabatan Hutan Sarawak hari ini, objektif utama kursus tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada kakitangan Jabatan Hutan tentang asas-asas pertolongan cemas seterusnya meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai pentingnya tatacara dan peranan untuk pertolongan cemas.


Antara lain adalah untuk menentukan tindakan yang betul diambil bagi memberi rawatan ketika berlakunya kemalangan atau kecemasan.

Selain itu, ia juga diharap dapat memupuk keyakinan diri untuk melakukan pertolongan cemas apabila berhadapan dengan kecemasan.

Ceramah berkaitan dengan Kursus Pertolongan Cemas telah disampaikan oleh Leftenan (PA) Mohamad Noor Amit dan Leftenan (PA) Kamal Bujang dari Angkatan Pertahan Awam Malaysia Negeri Sarawak. — DayakDaily