KUCHING: Bidang pendidikan di Sarawak terus diberi perhatian utama apabila kerajaan pusat bersetuju memperuntukkan sejumlah RM 1 bilion bagi menyediakan kemudahan Internet kepada sekolah-sekolah di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara mengenai kepentingan menyediakan sekolah-sekolah dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi telah diutarakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika pertemuan dalam satu majlis di Sibu pada hari Rabu.
“Beliau (Zahid) telah bersetuju meluluskan peruntukkan untuk meningkatkan lagi akses Internet selari dengan kepentingannya pada hari ini,” katanya di Majlis Pelancaran Program Digital Kenyalang anjuran Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak di Pusat Konvensyen Penview Kuching di sini, semalam.
Johari berkata, dengan adanya Internet berkelajuan tinggi usaha ke arah mencapai ekonomi digital akan dapat direalisasikan.
“Kemajuan teknologi kini memerlukan kita bergerak seiring dengannya; jika tidak kita akan ketinggalan,” tegasnya.
Katanya, dengan adanya kemajuan teknologi semua urusan menjadi lebih mudah yang menjadikan semua maklumat hanya dihujung jari.