5 individu ditahan dalam op Bersepadu Ambang Tahun Baharu Bintulu

Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas premis hiburan di Bintulu.

Oleh Brad Rantayy

BINTULU, 1 Jan: Lima lelaki tempatan, berusia di antara 29 sehingga 38 tahun, ditahan kerana disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan termasuk berkaitan narkotik, hiburan dan memiliki senjata berjadual dalam operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu di sini.

Ketua polis daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata operasi tersebut dijalankan polis daerah Bintulu dan anggota Jabatan Pengangkutan Bintulu sejak malam tadi sehingga awal pagi ini.


Beliau berkata operasi yang bermula jam 8 malam pada 31 Dis sehingga 3 pagi hari ini (1 Jan, 2021) menfokuskan samseng jalanan, kesalahan dadah dan jenayah.

Katanya, pihak polis juga telah mengeluarkan 47 kompaun ke atas 26 lelaki dan 21 perempuan, berusia di antara 27 hingga 64 tahun, di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.8) 2020) kerana tidak mematuhi SOP penjarakan sosial.

Di samping itu, pihak polis Bintulu turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas.

Antara senjata tajam yang dirampas semasa operasi dijalankan.

Melalui operasi ini juga, beliau berkata antara barang rampasan adalah parang, taji ayam, pisau lipat, kereta, dadah jenis syabu (0.5 gram), ganja (24 Gram) dan set karaoke terdiri daripada televisyen, mikrofon dan lain lain.

“Pihak polis IPD Bintulu komited bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan akan berterusan memerangi apa juga bentuk pelanggaran undang-undang sedia ada,” katanya. — DayakDaily