4,928 pili bomba rosak tahun ini, kes vandalisme dipandang serius

Kelihatan individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai mencuri besi penutup 'chamber' dan tiang pili bomba di Taman Desa Wira, Batu Kawa.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 31: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak memandang serius berhubung kes-kes vandalisme ke atas pili bomba.

Pengarah Bomba negeri Khirudin Drahman berkata sejumlah 4,928 pili bomba rosak akibat daripada tindakan yang tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat awam tahun ini.

Advertisement

Daripada jumlah tersebut, tindakan vandalisme telah mengakibatkan 625 tiang pili bomba patah, tegas beliau.

“Sejumlah 3,010 buah pili bomba direkodkan mengalami masalah kehilangan penutup ‘chamber’ pili bomba atau dengan kata mudah dicuri.

“Manakala, sejumlah 1,293 buah pili bomba mengalami kehilangan ‘cap’ pada ‘outlet pillar hydrant’ yang turut dicuri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Khirudin menambah, sehingga kini masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengetahui kepentingan pili bomba.

Katanya, Jabatan Bomba ingin menarik perhatian semua lapisan masyarakat betapa pentingnya pili bomba terutamanya ketika insiden kebakaran berlaku.

“Tempoh lima minit pertama setibanya jentera Bomba di lokasi kejadian adalah tempoh yang amat kritikal dalam memastikan tindakan operasi kebombaan yang berkesan, dan pada masa tersebut, punca air dari pili bomba dan sumber air terbuka adalah sangat diperlukan.

“Kapasiti tangki air dalam jentera bomba hanya mampu menampung kerja-kerja pemadaman untuk tempoh lima minit pertama sahaja dan sekiranya pili Bomba sedia ada di lokasi kejadian tidak dapat digunakan, ianya akan menjejaskan sesuatu operasi,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian vandalisme ke atas pili bomba supaya tindakan undang-undang dapat diambil ke atas pelaku tersebut. — DayakDaily

Advertisement