47 penghuni rumah panjang hilang tempat tinggal sekelip mata

Anggota bomba dan APM bekerja memadam kebakaran sebuah rumah panjang.

SRI AMAN, Sept 13: Seramai 47 penghuni rumah panjang di Geram Limur, Stumbin di sini hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka itu musnah terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu mengakibatkan 24 buah pintu di rumah panjang tersebut ranap terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, Willian Baheng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.46 petang.


Jelasnya, sejurus menerima laporan kejadian, sepasukan 11 anggota bomba dari BBP Sri Aman kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pasukan enam anggota bomba dari BBP Betong turut bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu operasi berkenaan.

“Apabila tiba di situ, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah panjang berstruktur tidak kekal yang berkeluasan keseluruhan 288 x 1,440 kaki persegi,” katanya di sini hari ini.

Willian menambah, pasukan bomba terus membuat kerja-kerja pemadaman sehingga api kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada penghuni rumah panjang itu yang cedera kerana mereka sempat keluar menyelamatkan diri.

“Operasi tersebut tamat pada pukul 5.35 petang dan punca kebakaran masih lagi dalam proses siasatan,” katanya.

Sambil menambah, turut membantu dalam operasi itu ialah pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). — DayakDaily