41 kes baru Covid-19, sekaligus menjadikan 238 kes keseluruhan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 14 Mac: Sejumlah 41 kes baharu jangkitan Covid-19 telah dilaporkan seluruh negara hari ini, sekaligus menjadikan 238 kes keseluruhan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua kes baru yang telah disahkan adalah dari kalangan “patient under investigation” (PUI), iaitu 37 kes dan kontak rapat empat kes.

“Dengan pertambahan 41 kes baru ini, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Beliau turut memaklumkan bahawa dua kes, iaitu kes ke-35 dan ke-61 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini, telah pulih dan discaj dari Hospital Sungai Buloh.

Dengan itu, kata Dr Noor Hisham, sejumlah 35 kes telah pulih dan discaj dari wad.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah 203 kes masih dirawat di wad dengan lima daripadanya sedang dirawat di Unit Rawaran Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Sehingga 14 Mac 2020, sebanyak 1,321 sampel dari pesakit ‘influenza like-illness’ (ILI) dan ‘severe acute respiratory infection’ (SAR) telah diuji di IMR, semua makmal kesihatan awam dan hospital.

“Setakat ini, tiga sampel positif jangkitan Covid-19 dan kesemuanya dari kluster perhimpunan tabligh,” ujar Dr Noor Hisham. — DayakDaily