This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 17 Sept: Seramai 400 orang pelajar di Kuching hari ini menerima bantuan RM50 sebulan bagi tempoh tiga bulan melalui e-wallet.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, mereka terdiri daripada 300 orang pelajar Tingkatan Enam dan 100 orang pelajar Diploma Kolej Vokasional.
“Ia merupakan program rintis bantuan kepada pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional.
“Lebih 70 ribu pelajar daripada 94 ribu pelajar tingkatan enam adalah daripada isi rumah B40.
“Ramai di antara mereka merupakan pelajar yang baik prestasi pendidikan namun disebabkan kesukaran serta pelbagai faktor maka mereka memilih untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tingkatan enam,” kata Fadillah.
Beliau berkata demikian di Karnival Sara Hidup Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Hikmah di sini, hari ini.
Maka tambah Fadillah, kerajaan ingin membantu bagi memastikan mereka terus cemerlang di dalam pelajaran.
Katanya, kejayaan yang diperolehi, akhirnya akan diterjemah dengan membawa keluarga mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Melalui data semasa ujarnya, pelajar tingkatan enam dan kolej vokasional membuat perbelanjaan tertinggi ke atas dua perkara.
“Ia adalah untuk pembelian data internet bagi kegunaan tugasan serta projek sekolah dan kos pengangkutan sama ada membeli minyak petrol, tambang pengangkutan dan sebagainya.
“Objektif pemberian bantuan melalui e-wallet ini adalah pertamanya, untuk mendapatkan trend perbelanjaan, manakala keduanya bagi memastikan perbelanjaan bagi perkara perlu sahaja,” kata Fadillah.
Selain bantuan kepada pelajar, baucar RM20 turut disediakan kepada 600 pengunjung pertama.
Baucar ini boleh dibelanjakan di Jualan Rahmah Bergerak yang menyediakan diskaun sehingga 30 peratus. ā DayakDaily