40 pintu rumah panjang Uma Bakung, Sungai Asap musnah terbakar

Keadaan api yang sedang marak membakar sebuah rumah panjang di Uma Bakong, Sungai Asap, Belaga.

Oleh Dean Adam

BELAGA, Nov 19: Sebuah rumah panjang Uma Bakung, Sungai Asap dekat sini musnah dalam satu kebakaran hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 11.02 pagi.

Jelasnya, kebakaran itu dipercayai telah berlaku sekitar pukul 10.45 pagi sebelum penghuni rumah panjang berjaya menghubungi talian kecemasan.

“Maklumat peringkat pertengahan yang diterima mengatakan kebakaran tersebut telah melibatkan satu blok rumah panjang 40 pintu jenis tidak kekal musnah terbakar 100 peratus.

Keadaan api yang sedang marak membakar sebuah rumah panjang di Uma Bakong, Sungai Asap, Belaga.

“Setakat ini, jumlah penghuni rumah panjang yang terjejas masih belum diketahui, namun mereka semua dilaporkan selamat,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Samalaju telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, buat masa ini pasukan bomba S
sukarela masih menjalankan operasi pemadaman kebakaran.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily